Tuesday, 18 September 2012

SABAR



"Bersabarlah!" Itulah ungkapan yang sesuai untuk diungkapkan ketika seseorang menghadapi musibah. Bahkan itulah yang diajarkan oleh Islam pada setiap kali menghadapi dugaan dan menerima musibah. Mungkin sesetengah orang berkata, "Cakap memang senang, cuba kalau kau yang kene!" Justeru itu, apa lagi nasihat yang paling sesuai selain bersabar?

Rasulullah sendiri pernah diherdik oleh seorang wanita yang meratap di atas perkuburan apabila baginda menasihati wanita tersebut bersabar. Namun akhirnya, wanita tersebut memohon ampun setelah mengetahui bahawa lelaki tersebut ialah Rasulullah.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung." (Ali-Imran, 3: 200)

Dalam firman Allah tersebut, Allah Taala bukan sahaja suruh kita bersabar bahkan memperkuatkan kesabaran. Ternyata ayat ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman dan pejuang-pejuang kebenaran. Bukan mudah untuk kita menyampaikan kebenaran dan isitqamah di jalannya tanpa kesabaran yang utuh.


MENGAPA PERLU BERSABAR?

1) Amalan Paling Baik dan Mulia

Firman Allah: "Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (Asy-Syura, 42: 43)


2) Taat & Menjauhi Maksiat

Sikap sabar menjadikan seseorang itu taat kepada dan tidak mudah mendekati maksiat. Terselamatlah golongan yang banyak bersabar ini daripada sifat-sifat mazmumah seperti sikap marah, merajuk dan bergaduh.


3) Diuji Semua Segi

Bagi pejuang-pejuang kebenaran ataupun pendakwah, perlu diingat bahawa keberadaan kita dalam jalan dakwah bukanlah dalam keadaan yang selesa ataupun disambut dengan karpet merah dan sebagainya. Keberadaan kita dalam dakwah semestinya berhadapan dengan ujian yang cukup hebat dari semua segi, di mana yang mampu meneguhkan kedudukan kita adalah dengan memperbanyakkan sikap sabar.

Firman Allah: "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 155)


4) Pahala Tanpa Batas

Firman Allah: "Katakanlah (Muhammad), 'Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu!' Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas." (Az-Zumar, 39: 10)


5) Nyata & Terbukti Berjuang

Orang-orang yang sabar adalah golongan yang terbukti berjuang di jalan-Nya. Maka, Allah akan terus menguji golongan tersebut sehinggalah mereka tetap sabar dan thabat pada jalan Allah. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasul Ulul Azmi seperti Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Ibrahim.

Firman Allah: "Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar berjihad dan bersabar di antara kamu dan akan Kami uji perihal kamu." (Muhammad, 47: 31)


6) Bantuan Allah

Pernah tidak kita terfikir mengapa doa kita tidak atau lambat dimakbulkan oleh Allah? Barangkali kerana dosa-dosa yang kita lakukan atau tidak sabarnya kita dalam memohon pertolongan Allah. Maka, sifat sabar adalah di antara syarat-syarat untuk kita mendapat bantuan dari Allah.

Firman Allah: "Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah, 2: 153)  
 
Wallahua'lam

Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal

Sunday, 12 August 2012

REMAJA RAIKAN RAMADHAN (3R) FASA 2


Pada 11 dan 12 Ogos 2012 yang lepas, telah berlangsungnya Program Remaja Raikan Ramadhan (Fasa 2) Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Bandar Baru Senawang. Program ini adalah anjuran IKRAMTeens Negeri Sembilan dengan kerjasama IKRAM Negeri Sembilan, World Assembly of Muslim Youth (WAMY) dan Masjid Bandar Baru Senawang. Program ini adalah lanjutan Program Fasa 1 yang telah dijalankan sebelum Ramadhan. Program ini disertai oleh seramai 51 orang iaitu 32 peserta lelaki dan 19 peserta perempuan yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan IPT di seluruh Negeri Sembilan.

Program bermula pada 11 Ogos 2012 selepas Solat Zuhur, dengan slot Ice Breaking: Knowing You, Knowing Me sebagai permulaan interaksi para peserta dan fasilitator. Kemudian disambung dengan slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) iaitu Ghazwul Fikri sebagai pendedahan kepada para peserta betapa bahayanya serangan pemikiran yang melanda umat Islam kini. Pada sebelah malam, selepas Solat Tarawikh, berlangsungnya slot Muhasabah Diri: Meniti Angin Malam sebagai peluang untuk peserta dan fasilitator untuk muhasabah diri sebagai hamba Allah di muka bumi ini.

Pada keesokan harinya, berlangsung slot terakhir iaitu Cabaran Badar. Slot ini adalah ala-ala Treasure Hunt merangkumi pelbagai aktiviti termasuklah menghafaz ayat-ayat lazim Al-Quran, kuiz sirah dan games. Penutup program ini telah disempurnakan oleh Amirasyid bin Densibali selaku Pengerusi Belia dan Remaja IKRAM Negeri Sembilan. Beliau memberi jaminan bahawa IKRAMTeens Negeri Sembilan akan tampil dengan pelbagai aktiviti menarik pada masa akan datang dan berharap peserta Program 3R (Fasa 2) kali ini akan menyertai program-program tersebut. Beliau juga menyeru agar para remaja menjadi golongan yang mencintai masjid di mana mencontohi golongan-golongan hebat terdahulu.


Peserta Sayang
Peserta Kasih




















Klik untuk video >>>> REMAJA RAIKAN RAMADHAN(3R) FASA 2

Monday, 30 July 2012

REMAJA RAIKAN RAMADHAN FASA 2


Assalamualaikum wbt...
InsyaAllah IKRAMTeens Negeri Sembilan akan menganjurkan satu lagi program
REMAJA RAIKAN RAMADHAN (3R) : FASA 2 pada 11 dan 12 Ogos 2012. Kepada adik-adik yang berminat dan tidak berpeluang menyertai program 3R yang lepas , sila buat pendaftaran SEGERA.
Jangan terlepas peluang kedua..Tempat adalah terhad!!!


Wednesday, 18 July 2012

Program 3R di Masjid Bandar Baru Senawang

Pada Ahad lepas, IKRAMTeens telah mengadakan Program 3R - Remaja Raikan Ramadan di Masjid Bandar Baru Senawang. Lebih 60 orang peserta daripada sekolah-sekolah di Seremban dan penduduk setempat telah menyertai program ini.


Program telah dimulakan dengan aktiviti 'ice breaking' dan disambung dengan forum. Ahli panelist merupakan bekas pelajar-pelajar luar negara dan mereka menceritakan suasana Ramadan dan Syawal di tempat mereka belajar iaitu di Rusia, Kanada dan Korea. Ahli panelist juga telah berkongsi tips-tips belajar kepada adik-adik yang hadir. Di sebelah petang pula, Imam Muda Aran telah menyampaikan sebuah ceramah tentang cara untuk sukses dalam bulah Ramadan.


Insyallah, sebuah Program 3R akan diadakan lagi semasa bulan Ramadan ini. Nantikannya!











Monday, 7 May 2012

Kenyataan Media

Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)

4 Mei 2012

Bantahan Terhadap Paparan Gambar Berunsur Lucah Di Muka Hadapan Akhbar Tempatan

Ikram membantah keras tindakan beberapa akhbar harian tempatan yang memaparkan gambar-gambar berunsur lucah di mukasurat hadapan akhbar-akhbar berkenaan. Gambar yang dikatakan diambil dari laman-laman blog yang boleh dipersoalkan kesahihannya dan dikaitkan dengan individu tertentu, menjadi  tatapan semua golongan masyarakat  – termasuk kanak-kanak  dan remaja sekolah, seolah-olah memberi gambaran ianya satu berita utama dan amat penting untuk diketahui oleh semua rakyat Malaysia.

Ikram mempersoalkan motif sebenar pihak akhbar yang tergamak menyajikan gambar-gambar berunsur lucah tersebut sehingga sanggup merendahkan kredibiliti dan kewibawaan sebagai saluran berita utama untuk tatapan masyarakat umum. Sebagai agen penyebar maklumat yang beramanah dan bertanggungjawab, pihak media massa perdana tidak seharusnya terlibat dengan sebarang usaha bertujuan mengaib, menjatuhkan maruah dan memalukan seseorang, apatah lagi sekiranya sumber dapatan maklumat tersebut diragui dan boleh dipertikaikan kesahihannya. Pihak media juga seharusnya bersikap adil dan tidak terheret ke dalam kancah permainan politik kotor sehingga membelakangi tuntutan agama dan moral. Allah SWT memberikan peringatan berikut di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 dan ayat 12 yang mafhumnya :

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Ayat 6, Surah Al Hujurat)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Ayat 12, Surah Al-Hujurat)
  
Ikram mendesak :

1.      Sidang pengarang akhbar-akhbar terbabit memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia di atas tindakan memalukan menyiarkan gambar berunsur lucah di muka hadapan akhbar-akhbar mereka.

2.      Pihak berwajib khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar tegas memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pihak media massa di negara ini yang menyeleweng dari peranan asal membangunkan sebuah masyarakat Malaysia yang beretika.

3.      Ahli-ahli politik menghentikan segera permainan politik kotor, kempen mengaibkan satu sama lain dan budaya fitnah memfitnah. Mereka mestilah kembali menghayati akhlaq mulia yang dituntut oleh agama. 

4.      Rakyat Malaysia memboikot semua sumber maklumat umum, sama ada media cetak ataupun media elektronik yang tidak bertanggungjawab dan tidak profesional dalam menjalankan amanah kewartawanan mereka.

Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Sosial
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Saturday, 7 April 2012

Masakan Ibu


Bagi seorang anak, antara manusia yang cukup rapat dengan dirinya adalah ibu dan bapanya. Justeru itu, apa saja perilaku sang bapa dan sang ibu cukup menjadikan seorang anak itu tertarik dengannya. Maknanya, apa sahaja yang ditunjukkan contoh seorang bapa kepada anak, pasti akan memberikan kesan kepada anak tersebut. Jika baik contohnya, insya Allah baiklah ikutan sang anak dan begitulah sebaliknya. Hinggakan, contoh yang diberikan tersebut, menjadikan seorang anak mengatakan bahawa ibu dan bapanya adalah manusia yang cukup lengkap atau perfect di sisinya. Tidak hairanlah, seorang anak lelaki yang sudah berkahwin, pasti tidak henti-henti masih lagi memuji masakan ibunya di depan isterinya. Sesedap mana pun masakan si isteri, masakan ibunya jugalah masih yang terbaik. Begitu juga seorang anak perempuan yang sudah berkahwin, pasti juga akan melakukan perbandingan antara suaminya dengan bapanya. Jika bapanya dianggap sebagai role model, pasti diharap juga, si suaminya begitu atau lebih baik lagi.

Pujian seorang anak terhadap masakan ibunya di hadapan isterinya, bukanlah bermakna untuk memperlekehkan kemampuan seorang isteri. Pujian tersebut merangkumi dua sebab; Pertama: Pujian itu mengharapkan si isteri berusaha untuk belajar daripada ibu mertuanya agar resepi-resepi tersebut boleh diwarisi. Kedua: Itu menggambarkan lumrah. Mana mungkin masakan seorang wanita yang dikahwini baru 2-3 tahun mampu menandingi masakan ibunya selama lebih 20 tahun yang sudah sebati dengannya. Justeru itu, seorang isteri tidak seharusnya berkecil hati kerana, anak-anaknya nanti mungkin akan melakukan perkara yang sama. Jika suaminya amat menyanjung masakan ibu mertuanya, tidak mustahil anak-anaknya juga akan menyanjung masakannya apabila mereka sudah berkahwin. 

Di sebalik pujian menggunung itu, pasti juga si suami akan bersifat redha akan kemampuan isterinya seperti redhanya bapanya kepada ibunya. Mana ada manusia yang bersifat sempurna yang boleh memuaskan semua kehendak pasangannya. Seorang lelaki pasti inginkan isteri yang pakej lengkap dari segi agama, kecantikan, keturunan dan harta tetapi, meskipun memperolehinya, itu sebenarnya tidak menjamin  seorang lelaki itu puas akan segala-galanya. Bagaimana seseorang itu mahukan isteri yang sehebat Fatimah sedangkan dirinya tidak sehebat Ali.

Begitu juga dengan dakwah kita. Mana ada gerakan atau jemaah yang sempurna, naqib yang perfect dan ikhwah akhwat yang hebat dalam semua segi. Pasti ada kelemahan dalam beberapa segi. Kalaulah kita mencari golongan yang perfect semata-mata, pasti tidak akan ketemu. Rasulullah sendiri pada zaman baginda, hanya bagindalah manusia yang sempurna dan menjadi rujukan para sahabat. Para sahabat sendiri pun tidak mampu menandingi kehebatan baginda, cuma kelebihan mereka ialah mereka selalu berdamping dengan Rasulullah. Di samping kelebihan dan kekurangan yang ada pada para Sahabat, Rasulullah tetap memanfaatkan mereka secara optimum di dalam dakwah.

Firman Allah: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran, 3: 103 – 104)

Justeru itu, bukanlah kesempurnaan yang dicari dalam melakukan dakwah ini tetapi bagaimana peranan pendakwah itu sendiri mewujudkan kekuatan dalam dakwah. Oleh itu, marilah sama-sama meneruskan perjuangan di samping melakukan pengislahan, moga-moga kita bersama merasai nikmatnya berdakwah ini kelak.
Wallahua’lam.                 

Hasil Nukilan,
Abu Hanifah bin Mohd Kamal