Wednesday 5 December 2012

GENERASI AL-QURAN



Tarbiyah Islamiyah adalah langkah pendidikan, pembinaan dan pembentukan keperibadian yang teratur, terarah, sistematis dan terprogram secara berkesinambungan sepanjang hayat. Program tarbiyah Islamiyah bertumpu pada dua manhaj sehingga menjadi dapat menjadi program yang jelas iaitu manhaj 'ilmi (tu'allimuunal kitaab) dan manhaj 'amali (tadrusuun) sebagaimana firman Allah:



"Jadilah kamu generasi Rabbani - yang sempurna iman dan taqwanya, kerana kamu sentiasa mengajarkan kitab dan kerana kamu sentiasa mempelajarinya." (Ali-Imran, 3: 79)



Generasi Rabbani adalah generasi yang sentiasa melakukan tarbiyah sepanjang hidupnya. Bukan sekadar mengaji dalam erti membaca al-Quran, tapi lebih dari sekadar itu. Ia juga selalu menyampaikannya kepada orang lain, bahkan ia pun sentiasa mempelajarinya. Sehingga generasi rabbani inilah yang dikatakan oleh Rasulullah sebagai sebaik-baik manusia.



"Sebaik-baik kalian adalah orang yang sentiasa mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain." (HR Bukhari)



Jadi, generasi rabbani secara automatiknya adalah generasi Al-Quran kerana akrab dengan Al-Quran, menjadi pembelajar dan pengajarnya.



Generasi Al-Quran ini disebut oleh Syed Qutub sebagai generasi unik, Jailul Qurani Al-Farid. Mengapa? Kerana Al-Quran menjadi ruhnya. Al-Quran keperibadiannya. Al-Quran sumber asasi hidupnya. Al-Quran pula yang merevolusi kehidupannya. Al-Quran akhlaknya. Sebagaimana beliau ungkapkan dalam kitab Ma'alim Fith Thoriq (Petunjuk Sepanjang Jalan). Maka, bila kekuatan Al-Quran telah menyatu dalam peribadi muslim, maka ia akan menjadi peribadi yang unik dan dahsyat.



Generasi para sahabat menjadi contoh yang terbaik di mana golongan ini diakui sebagai generasi yang hebat dalam sejarah tamadun manusia. Apa rahsianya? Itulah generasi Al-Quran. Generasi yang seterusnya yang membawa kegemilangan Islam seperti Salahudin Al-Ayyubi dan Muhammad Al-Fateh, juga merupakan generasi Al-Quran yang hebat.

Islam hanya bangkit apabila kita mencontohi dan menjejaki Generasi Al-Quran. Bukan hanya tahu dan hafal temanya sahaja tapi perlu dihadam dan diredam agar ianya benar-benar menjadi kenyataan.



Wallahua'lam






"Impian Semalam adalah Kenyataan Pada Hari Ini, 

Impian Hari Ini adalah Kenyataan Pada Hari Esok"





LAPORAN GEN-Q CAMP 2012



Pada 16 – 18 November 2012, julung-julung kalinya IKRAMTeens N.Sembilan menganjurkan GEN-Q CAMP 2012 yang merupakan Mukhayyam Remaja Peringkat N.Sembilan bertempat di D’Kok Eco Camp, Kuala Pilah. Bertemakan “In The Footsteps of Quranic Generation”, program ini diharapkan dapat mengajak para peserta menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup yang praktikal, khususnya menjadikan Sunnah Rasulullah s.a.w. serta keperibadian salafussoleh sebagai ikutan.
Matlamat GEN-Q CAMP 2012 ini adalah untuk mengumpulkan seluruh remaja dari lingkungan umur 13 – 18 tahun yang pernah mengikuti halaqah dan program umum anjuran IKRAMTeens N.Sembilan. Seramai 59 remaja menyertai program ini iaitu 27 orang lelaki dan 32 orang perempuan dan melibatkan 20 orang urusetia dan fasilitator dengan pelbagai latar belakang.
Sepanjang program ini, para peserta dibahagikan kepada 9 kumpulan yang diberikan nama tokoh-tokoh Generasi al-Quran di kalangan para sahabat iaitu Usamah bin Zaid, Mush’ab bin Umair, Abu Ubaidah al-Jarrah, Muaz bin Jabal, Al-Khansaa, Asma’ bt Umays, Nusaybah bt Kaab, Ummu Haram bt Milhan dan Safiyyah bt Abd Mutalib. Program selama 3 hari 2 malam ni menggabungkan aktiviti berbentuk indoor dan outdoor. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti Ice Breaking, Tazkirah, Tayangan Video Sirah, Syabab Conquest (Kayak, Tadabbur Alam (Jungle Trekking) dan Water War Games), Malam Cahaya Aspirasi, Ceramah – Formula Kebangkitan Umat, LDK – 10 Ciri Individu Muslim dan Refleksi & Resolusi. Setiap aktiviti yang dilaksanakan Insya Allah mempunyai ibrah yang perlu difahami oleh setiap peserta.
Semoga program ini menjadi batu loncatan kepada dakwah Islam di kalangan remaja dan para peserta dan urusetia benar-benar menghayati dan menjejaki Generasi al-Quran yang diidam-idamkan. Insya Allah.



Untuk gambar dan video program, boleh lawat di sini:


 


Disediakan Oleh,

(ABU HANIFAH BIN MOHD KAMAL)
Pengarah,
GEN-Q CAMP 2012