Tuesday 24 December 2013

LAPORAN PROGRAM RELAKS...(REHLAH REMAJA IKRAMTEENS NEGERI SEMBILAN) pada 23 dan 24 NOVEMBER 2013




Pada 23 – 24 November 2013, IKRAMTeens N.Sembilan telah menganjurkan RELAKS yang merupakan Rehlah Remaja IKRAMTEENS N.Sembilan bertempat di Homestay Akhma, Kg Sungai Dua, Kuala Pilah.

Matlamat RELAKS ini khusus untuk mengumpulkan remaja lelaki disekitar Negeri Sembilan yang pernah mengikuti halaqah dan program umum anjuran IKRAMTeens. Seramai 15 remaja menyertai program ini dan melibatkan 11 orang urusetia dan fasilitator dengan pelbagai latar belakang.

Program selama 2 hari 1 malam ni menggabungkan aktiviti berbentuk indoor dan outdoor. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah Ice Breaking,  Riadah Alam di Sungai Ulu Bendul, Tazkirah, Perkongsian Mukaddimah ISK -  Ini Sejarah Kita dan Syahadatain.

Seawal jam 8.30pagi, peserta telah berkumpul untuk pendaftaran dan solat dhuha di Masjid Bandar Baru Senawang. Jam 9.30pagi, fasilitator dan peserta mula bergerak ke Taman Rekriasi Ulu Bendul. Slot pertama telah dimulakan sekitar jam 10.30pagi iaitu slot Ice Breaking yang diketuai oleh Pak Ucu dan Akhi Khairi.

Bermula jam 11.00 pagi, ikhwah memulakan aktiviti riadah mereka dalam air sungai. Sesi ta’aruf telah berlaku secara tidak langsung diantara fasilitator dan para peserta sewaktu mereka  menikmati aktiviti riadah. Pada jam 11.30 pagi, urusetia memulakan aktiviti menghidupkan api untuk aktiviti ‘BBQ’ dan Alhamdulillah kami mula menikmati makanan sekitar jam 12.30 t/hari.

Usai menikmati makanan, kami bersiap untuk melaksanakan tanggungjawab solat zuhur secara berjemaah di sekitar kawasan sungai ulu bendul dan kemudian berkemas untuk bergerak ke lokasi utama program RELAKS iaitu di Homestay Akhma, Sungai Dua, Kuala Pilah. Kami tiba di homestay pada jam 2.30 petang.

Slot berikutnya iaitu slot Mukaddimah ISK – “INI SEJARAH KITA” bermula pada jam 3.30 petang. Slot ini telah disampaikan oleh Bro Faridunnaim dari USIM Nilai. Bro Faridunnaim telah memperincikan kepentingan ISK dan diterangkan kembali tujuan hidup manusia, hadith Logam, kelebihan bagi mereka yang faham dan mereka yang mengubah dunia dengan Sains Sosial.

Slot seterusnya dimulakan pada pukul 9.00 malam. Peserta telah dihidangkan dengan satu tayangan video bertajuk “The Legend of Bhagat Singh”. Beliau merupakan seorang pemuda yang cuba membuat satu revolusi. Ciri-ciri yang ditunjukkan beliau ini tidak menghalangnya dari berjaya di sudut yang lain. Beliau sangat bersemangat tetapi dalam masa yang sama, beliau juga seorang pelajar yang sangat cemerlang dalam akademik.

Aktiviti pada hari kedua bersambung seawal jam 5 pagi, peserta dikejutkan untuk berQiamullail seterusnya solat Subuh berjemaah. Selesai solat, kami telah dihidangkan dengan satu tazkirah subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Aqib.

Slot pertama pada hari kedua yang bertajuk “Syahadatain” telah disampaikan oleh Akhi Meor dari USIM Nilai yang. Dalam penyampaian slot ini, Akhi Meor menyentuh konsep yang terkandung dalam syahadah iaitu kalimat “ laa ilaaha illallaah” adalah konsep pembebasan manusia dari penghambaan apapun kecuali Allah SWT semata-mata.

Alhamdulillah, slot penutup dan revolusi telah disampaikan oleh Akhi Abu Hanifah, Pengarah IKRAMTEENS Negeri Sembilan pada jam 12.30 t/hari.

Secara keseluruhannya, program berjalan lancar dan mendapat maklumbalas yang memuaskan. Terima kasih diucapkan kepada semua barisan urusetia dan fasilitator yang banyak membantu untuk kelancaran program.


Jazakallahu khairan kathira.

Disertakan gambar-gambar sepanjang program berlangsung.