Tuesday, 27 May 2014

Program Al-Hafidz 2 be Camp


Sempena cuti sekolah ni, IKRAMTeens Negeri Sembilan menganjurkan Program Al-Hafidz 2 be Camp. Khas untuk pelajar Ting 1 dan 2 (lelaki sahaja). Adik-adik yang berminat boleh mendafar sekarang!!!

Untuk pendaftaran :
Taip [Nama Penuh] [No MyKad] [HP] [E-mel] hantar ke 013-3372407 (sms / whatsapps)

Maklumat lanjut hubungi : 013-3372407




3R1S : Memperkasa Remaja Bertuhan

Program persiapan menghadapi Ramadan 
untuk adik-adik remaja di sekitar Nilai.
Jom daftar segera!!!


Friday, 2 May 2014

Kenyataan Media : Isu Sahsiah di Kalangan Remaja

Assalamualaikum.

IKRAMTeens Negeri Sembilan merupakan sebuah institusi yang menguruskan Hal Ehwal Remaja di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan).

IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa mengikuti perkembangan semasa isu-isu yang melibatkan remaja di seluruh negara. Terbaru, kes yang melibatkan kematian seorang pelajar akibat pergaduhan dengan rakan sekolah di sebuah sekolah berasrama di Selangor.

IKRAMTeens Negeri Sembilan melahirkan kebimbangan dengan kes yang melibatkan buli, pergaduhan dan adab dengan ibu bapa/guru di kalangan remaja. Kes-kes ini dilihat semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian dan mendapatkan solusi terbaik untuk perkara tersebut. Sebagai contoh, kes buli adalah isu yang telah lama berlaku terutama sekali di sekolah berasrama dan gejala buruk ini perlu dibuang dan tidak patut diwarisi ke generasi akan datang.

Remaja adalah generasi umur yang berkembang dan mudah terpengaruh dengan sekeliling. Usia ini amat kritikal kerana mereka mengalami perubahan menjadi lebih dewasa. Justeru itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan menyeru agar wujudnya sokongan dan kebersamaan serta fokus daripada ibu bapa, para guru, jiran, anggota masyarakat dan pemimpin masyarakat. 

Dalam mendepani masalah ini, IKRAMTeens Negeri Sembilan amat yakin dengan membawa golongan remaja ini kepada tarbiyah dan didikan secara syumul. Didikan ini perlu menerapkan didikan akhlak kepada ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat secara amnya. Akhlak ini seharusnya wujud atas dasar seorang hamba Allah yang menerapkan kasih sayang dan hormat sesama manusia yang sangat bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Islam iaitu 'Rahmatan Lil A'lamin'. Didikan ini boleh diterapkan dalam pengajaran di rumah dan di sekolah atau melibatkan para remaja ini dengan program-program yang bersifat ketuhanan yang membawa mereka ke arah kebaikan.

Sehubungan dengan itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa bersama-sama masyarakat dalam membantu membangunkan sahsiah di kalangan para remaja. Program-program yang dianjurkan IKRAMTeens seperti usrah, program motivasi, program sahsiah, program kepimpinan dan banyak lagi diyakini dapat membantu dan mempersiapkan para remaja ini ke arah yang lebih baik dan lebih dewasa. Peranan semua pihak amatlah dituntut dalam memastikan kerja-kerja pengislahan ini berjaya.


Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengarah, 
IKRAMTeens Negeri Sembilan.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan)

Sunday, 16 March 2014

Kenyataan Media: Isu Penyalahgunaan Dadah di Future Music Festival Asia

Assalamualaikum.

IKRAMTeens Negeri Sembilan merupakan sebuah institusi yang menguruskan Hal Ehwal Remaja di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan). IKRAMTeens Negeri Sembilan sentiasa mengikuti perkembangan muktahir isu-isu yang melibatkan Belia dan Remaja di Malaysia. 

Isu terkini melibatkan penyalahgunaan dadah di kalangan belia dan remaja di Future Music Festival Asia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perkhabaran terkini, insiden ini mengakibatkan enam individu termasuk seorang pelajar sebuah universiti maut dan empat belas individu lain kritikal. 

IKRAMTeens Negeri Sembilan memandang serius dan mengecam penganjuran Festival Muzik ini yang memberi impak negatif kepada masyarakat terutama golongan belia dan remaja. Penganjuran seperti ini membuka ruang kepada unsur-unsur negatif seperti penyalahgunaan dadah, pengambilan arak, pergaulan bebas dan seks bebas yang merupakan isu lama yang masih belum selesai. Muktahir ini, unsur-unsur seperti penyalahgunaan dadah dilihat menjadi satu 'trend' untuk berhibur.

Justeru itu, IKRAMTeens Negeri Sembilan menggesa pihak penguasa agar lebih sensitif dengan penganjuran konsert-konsert dan aktiviti hiburan melampau yang lebih banyak membawa impak negatif. Peranan pihak penguasa ini harus ditampung oleh peranan masyarakat dalam memastikan golongan belia dan remaja di negara ini diberi perhatian dan dijaga sebaik-baiknya kerana golongan ini merupakan aset negara pada masa hadapan.

IKRAMTeens Negeri Sembilan amat yakin bahawa segala unsur negatif yang melanda golongan belia dan remaja dapat diperbaiki dengan hasil didikan dan tarbiyah yang berterusan, dan bukannya dengan melaksanakan proses rawatan yang sehingga kini masih belum terbukti berkesan. Kerjasama semua pihak dituntut dan IKRAMTeens akan bersama-sama dengan masyarakat untuk melaksanakan kerja-kerja pengislahan ini.

Memetik kata-kata ulama tersohor:
"Sebuah masyarakat itu bergantung kepada pemudanya. Jika baik pemudanya, maka baiklah masyarakatnya. Dan, jika rosak pemudanya, maka rosaklah masyarakatnya."



Abu Hanifah bin Mohd Kamal
Pengarah, 
IKRAMTeens Negeri Sembilan.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan)

Wednesday, 26 February 2014

Laporan Program Motivasi : “Membentuk Peribadi, Akhlak Terpuji”

Pada 18 Februari 2014 yang lepas, IKRAMTEENS Negeri Sembilan dengan kerjasama IKRAM SISWA dijemput untuk memberi pengisian kepada pelajar tahun 6 yang telah dianjurkan  oleh Sekolah Rendah Sri As-Saidiyyah, Senawang, Negeri Sembilan. Seramai 50 orang pelajar tahun 6 telah mengikuti program ini. Program ini merupakan program tahunan Sekolah Rendah Sri As-Saidiyyah khas untuk pelajar-pelajar tahun 6 mereka.
                Kami telah membahagikan slot kepada tiga bahagian. Bahagian pertama, merupakan slot taaruf. Akhi Adib telah mengisi slot ini dengan membawa erti taaruf pada diri seorang pelajar. Seseorang manusia itu perlu mengetahui siapa diri mereka dan apa tujuan mereka. Walaupun kita seorang pelajar,kita tidak dapat lari dari tanggugjawab untuk belajar dan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Slot taaruf ini diberi agar para pelajar faham dan bersemangat dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar dan hamba.
                Slot kedua disampaikan oleh Akhi Faridunnaim. Slot ini adalah slot motivasi yang bertajuk  “Membentuk Peribadi, Akhlak Terpuji”. Para pelajar telah didedahkan tentang keperibadian pelajar cemerlang, anak soleh dan hamba terpuji. Tujuannya, agar para pelajar mengambil dan mengamalkan akhlak-akhlak mulia ini sepanjang hidup mereka. Didalam slot ini, telah diselitkan aktiviti permainan dan kisah-kisah para pejuang islam sebagia ibrah untuk mereka.
                Slot terakhir adalah slot muhasabah. Slot istimewa ini dibawa khas oleh seorang bekas pelajar senior Maahad Tahfiz As-Saidiyyah iaitu Akhi Afham. Muhasabah ini bertujuan agar para pelajar mengimbas kembali detik-detik permulaan meraka dilahirkan didunia ini, iaitu dari ibu bapa mereka sendiri. Sifat manusia yang ego amatlah sukar untuk ditundukkan. Dengan bermuhasabah mampu membina semula akhlak,iman,peribadi dan hati.
                Tuntasnya, walaupun diri kita kecil, tak semestinya kita tidak mampu lakukan apa-apa. Buktinya, ramai sejarawan Islam yang berjaya dan cemerlang pada usia muda dan berjaya bukan pada perkara yang kecil-kecil malahan yang besar-besar. Yakin dan percayalah pada diri sendiri dan pada Allah yang mencipta kita. Walau sekecil manapun usaha kita, ia tetap dikira Allah.

Wallahua’lam.

Barisan bakal-bakal pemimpin yang akan meneruskan perjuangan menyampaikan risalah dakwah ini.
Bergambar kenangan...
Dari kiri : Akhi Imran, Akhi Afham, Ustaz Farhan, Akhi Adib, Akhi Faridunnaim, tak lupa jurugambar..:-)
Jazakallahu khairan kathira kepada SRIAS atas cenderahati yang diberi.