ISLAM
tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang
dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan
sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya
Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan,
minum arak dan keriangan mengasyikkan.
Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan
pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk
mencegah perkara buruk.
Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang
berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui
media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam
kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah.
Dan
syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. – Surah
an-Nisa, Ayat 60)
Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan
pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan
menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi
ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan
dan dosa.
Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling
berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah
pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa
bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.
Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan
manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60)
Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis
segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu
berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang
sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain.
Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya
nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika
pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.
Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat
bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat,
iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.
Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang
membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan
oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesiapa yang
menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu
Daud).
Harapnya
kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa
yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula
dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Allah
memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: “Demi masa! Sesungguhnya
manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta
mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” –
(Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)
Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa
yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang
tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.
Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat
Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih
baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari
sebelumnya.
Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila
sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang
lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera
memperbaikinya.
Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah
terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan
dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan
beralih melakukan perbuatan baik.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin
apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di
dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon
ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah
dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” –
(Hadis Riwayat Ahmad)
-islamituindah.my-
Muhammad Afif Mohd Nasir