Wednesday, 24 April 2013

LAPORAN KAPSUL AL-KAHFI 1.0



 
Alhamdulillah, bersyukur ke Hadrat Allah sw.t, Yang Maha Agung, Pencipta Seluruh Alam, yang telah menurunkan kepada seluruh alam agama Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan agung Ar-Rasul Muhammad s.a.w yang tidak pernah jemu menyampaikan dakwah Islam.

Pada 30-31 Mac 2013 yang lalu, bertempat di Masjid Bandar Baru Senawang, IKRAMTeens Negeri Sembilan dengan kerjasama Futuwwah Excel Training Centre dan Baitul Quran telah menganjurkan daurah sulung untuk remaja yang dinamakan Kapsul Al-Kahfi 1.0. Program ini merupakan daurah peringkat Negeri Sembilan yang telah dihadiri oleh 15 orang remaja dari pelbagai sekolah di seluruh Negeri Sembilan. Tema utama perbincangan daurah remaja kali ini adalah “Ini Sejarah Kita” atau “I.S.K” yang mengenengahkan isu sejarah perkembangan pergerakan dakwah Islam semenjak dari zaman Nabi Muhammad s.a.w di Makkah lagi sehinggalah zaman kejatuhan pemerintahan khalifah pada tahun 1924.

Daurah bermula pada hari Sabtu, 30 Mac 2013, jam 8.30 pagi dengan pendaftaran peserta. Daurah  seterusnya dimulakan dengan Slot 1 yang diberi nama “Mukaddimah ISK” telah dikendalikan oleh Akhi Abd. Rahman diikuti dengan sesi LDK ringkas bersama fasilitator dari kalangan belia IKRAM Negeri Sembilan. Selepas Zohor, daurah disambung dengan sesi 2, “I.S.K” yang telah dikendalikan oleh Akhi Abang Ashmirul. Selepas asar, daurah diteruskan dengan slot “Ukhuwah Games” yang telah menjadi saksi kepada pertembungan di antara pihak peserta dengan fasilitator di atas padang futsal di Paroi. Daurah kemudiannya bersambung selepas Isya’ dengan sesi “Penggulungan dan LDK” yang dikendalikan oleh Akhi Mohd Noor dimana peserta telah berbincang dalam kumpulan dan membentangkan apa yang telah mereka pelajari dari sejarah Islam.

Daurah kemudiannya bersambung pada keesokan hari dengan Qiamullail dan Solat Subuh berjemaah diikuti dengan Kuliah Subuh bersama ahli jamaah masjid. Slot seterusnya, “tadabbur Al-Quran” telah disampaikan oleh Ust Suhaimi yang membincangkan mengenai cara mentadabbur Al-Quran dan tadabbur Surah Al-Fatihah. Sesi ini disusuli dengan Slot “U.S.R.A.H” yang disampaikan oleh Akhi Fauzan yang membicarakan mengenai persoalan apakah yang perlu difahami dengan USRAH. Menjelang waktu Zohor, daurah telah diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada para peserta oleh Akhi Abu Hanifah, selaku Pengerusi IKRAMTeens Negeri Sembilan.

Setiap aktiviti yang telah dilaksanakan InsyaAllah padat dengan pelbagai pengajaran dan kemanisan yang perlu difahami oleh setiap peserta. Semoga daurah kali ini menjadi batu loncatan kepada pergerakan dakwah Islam di kalangan remaja dan para peserta serta fasilitator dapat menghayati, menjejaki dan mengembalikan sejarah kegemilangan Islam.







 



No comments:

Post a Comment