Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)
4 Mei 2012
Bantahan Terhadap Paparan Gambar Berunsur Lucah Di Muka Hadapan Akhbar Tempatan
Ikram membantah keras tindakan beberapa akhbar harian tempatan yang memaparkan gambar-gambar berunsur lucah di mukasurat hadapan akhbar-akhbar berkenaan. Gambar yang dikatakan diambil dari laman-laman blog yang boleh dipersoalkan kesahihannya dan dikaitkan dengan individu tertentu, menjadi tatapan semua golongan masyarakat – termasuk kanak-kanak dan remaja sekolah, seolah-olah memberi gambaran ianya satu berita utama dan amat penting untuk diketahui oleh semua rakyat Malaysia.
Ikram
mempersoalkan motif sebenar pihak akhbar yang tergamak menyajikan
gambar-gambar berunsur lucah tersebut sehingga sanggup merendahkan
kredibiliti dan kewibawaan sebagai saluran berita utama untuk tatapan
masyarakat umum. Sebagai agen penyebar maklumat yang beramanah dan
bertanggungjawab, pihak media massa perdana tidak seharusnya terlibat
dengan sebarang usaha bertujuan mengaib, menjatuhkan maruah dan
memalukan seseorang, apatah lagi sekiranya sumber dapatan maklumat
tersebut diragui dan boleh dipertikaikan kesahihannya. Pihak media juga
seharusnya bersikap adil dan tidak terheret ke dalam kancah permainan
politik kotor sehingga membelakangi tuntutan agama dan moral. Allah SWT
memberikan peringatan berikut di dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6 dan ayat
12 yang mafhumnya :
Wahai
orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak
diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Ayat 6, Surah Al Hujurat)
Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya
kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya
sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip
atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Ayat 12, Surah Al-Hujurat)
Ikram mendesak :
1. Sidang
pengarang akhbar-akhbar terbabit memohon maaf secara terbuka kepada
semua rakyat Malaysia di atas tindakan memalukan menyiarkan gambar
berunsur lucah di muka hadapan akhbar-akhbar mereka.
2. Pihak
berwajib khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
agar tegas memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada
mana-mana pihak media massa di negara ini yang menyeleweng dari peranan
asal membangunkan sebuah masyarakat Malaysia yang beretika.
3. Ahli-ahli
politik menghentikan segera permainan politik kotor, kempen mengaibkan
satu sama lain dan budaya fitnah memfitnah. Mereka mestilah kembali
menghayati akhlaq mulia yang dituntut oleh agama.
4. Rakyat
Malaysia memboikot semua sumber maklumat umum, sama ada media cetak
ataupun media elektronik yang tidak bertanggungjawab dan tidak
profesional dalam menjalankan amanah kewartawanan mereka.
Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Sosial
Pertubuhan IKRAM Malaysia
No comments:
Post a Comment